KUCHING: Seramai 281 penerima yang terdiri daripada kanak-kanak dari Yayasan Kemajuan Insan Sarawak (YAKIN), Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak serta anak-anak kakitangan Yayasan Sarawak menerima sumbangan duit raya daripada Yayasan Sarawak.
Menurut Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), sumbangan tersebut disampaikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam Majlis Berbuka Puasa anjuran Yayasan Sarawak di sini pada Khamis.
Terdahulu, beliau berkesempatan berbuka puasa serta menunaikan solat maghrib berjemaah dengan hadirin yang beragama Islam.
Selain itu, Abang Johari yang juga Pengerusi Yayasan Sarawak turut menyaksikan penyerahan zakat daripada Kumpulan Petronesa dan Syarikat Sanjung Etika Sdn Bhd masing-masing sebanyak RM384,157 dan RM45,750.
Penyerahan tersebut disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki kepada Ketua Sektor Kewangan dan Pentadbiran Baitulmal Sarawak Sulaiman Mahili yang mewakili Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak.
Sementara itu, Pengarah Yayasan Sarawak Mersal Abang Rosli menyampaikan sumbangan sebanyak RM2,000 daripada Jawatankuasa Surau Al Hidayah Yayasan Sarawak kepada wakil Pusat Tahfiz Raudatul Jannah Azman Zain.
Susulan itu, Premier Sarawak bersama hadirin beragama Islam menunaikan solat isyak dan tarawih secara berjemaah.
Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain, Peguam Besar Negeri Sarawak Dato Sri Talat Mahmood Abdul Rashid, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu Datuk Amar Jamilah Anu serta dif-dif kehormat yang lain.
SOURCES: https://www.utusanborneo.com.my/2023/04/07/281-kanak-kanak-terima-duit-raya-daripada-yayasan-sarawak