Skip to content

3 anak syarikat Yayasan Sarawak serah zakat perniagaan RM435,000

KUCHING, 9 Mac: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyaksikan tiga anak syarikat Yayasan Sarawak menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM435,033 kepada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS), dalam majlis berbuka puasa di Kompleks Sri Pertiwi di sini, hari ini.

Zakat perniagaan bernilai RM412,390 daripada Petronesa Sdn Berhad dan RM12,419 daripada Sanjung Etika Sdn Bhd disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki kepada Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha.

Selain itu, Pengarah Yayasan Sarawak, Datu Mohamad Junaid Mohidin turut menyampaikan zakat berjumlah RM10,224 daripada Pometia Sdn Bhd kepada Majlis Islam Sarawak.

Dalam majlis sama, Abang Johari yang juga Pengerusi Yayasan Sarawak bersama anaknya, Dayang Norjihan menyampaikan sumbangan duit raya kepada 20 orang daripada 62 pelajar Yayasan Kemajuan Insan Sarawak (YAKIN) dan Yayasan Sarawak International Secondary School (YSISS).

Terdahulu, majlis dimulakan dengan acara berbuka puasa, solat fardhu Maghrib dan makan malam.

Selepas penyerahan sumbangan, majlis diakhiri dengan solat Isyak dan Tarawih secara berjemaah.

Majlis juga diserikan dengan kehadiran seramak 390 tetamu jemputan dari Kumpulan Yayasan Sarawak dan Pejabat Premier Sarawak. – TVS

 

SOURCES: https://www.tvsarawak.my/2026/03/09/3-anak-syarikat-yayasan-sarawak-serah-zakat-perniagaan-rm435000/

Facebook
Telegram
WhatsApp
X
Email